Monday, July 28, 2014

Rumusan


Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan - sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negarabangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional. Andai kata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja. Peristiwa 13 Mei memberikan kesan positif kepada Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum. Sekarang Malaysia menjadi sebuah negara yang pesat membangun bersama iklim politik yang sehat. Dalam kelompok ASEAN, Malaysia merupakan contoh terbaik dari segi pembangunan ekonomi dan kebebasan politik. Tragedi berdarah 13 Mei mesti menjadi iktibar pada rakyat Malaysia, ianya merupakan insiden yang melagukan pesan bahawa rasa saling hormat menghormati antara kaum, merupakan resepi paling penting dalam menjaga keharmonian negara. ramai di kalangan kita seolah-olah enggan menerima kenyataan bahawa Peristiwa 13 Mei telah tercatat dalam sejarah hitam negara. Sejarah tercetusnya pergaduhan kaum yang berdarah. Dan para pemimpin terdahulu cuba untuk memadamkan sejarah tersebut agar generasi akan datang tidak pernah tahu apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Tetapi kita lupa bahawa kita boleh melupakan sejarah tetapi sejarah tidak pernah melupakan kita. Bagaimana kita boleh melupakannya kalau kita tahu bahawa Rukun Negara dibentuk hasil Peristiwa 13 Mei?

Hari ini, kita seakan mengabaikan hubungan antara kaum dan setiap kaum pula saling tuduh menuduh, fitnah memfitnah, malah sudah wujud riak-riak perbalahan melibatkan kaum. Cuma riak itu belum menjadi gelombang. Ini kerana mereka lupa sejarah. Sejarah hitam 13 Mei 1969. Mungkin sudah tiba masanya kita menyambut setiap kali 13 Mei dengan satu acara yang membolehkan seluruh rakyat negara ini mengingatinya dengan harapan mereka tidak melakukan perkara-perkara yang boleh berulangnya peristiwa hitam itu. 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai. Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya.


Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.

No comments:

Post a Comment