Tetapi kita lupa bahawa kita boleh melupakan sejarah
tetapi sejarah tidak pernah melupakan kita. Bagaimana kita boleh melupakannya
kalau kita tahu bahawa Rukun Negara dibentuk hasil Peristiwa 13 Mei?
Hari ini, kita seakan mengabaikan hubungan antara kaum
dan setiap kaum pula saling tuduh menuduh, fitnah memfitnah, malah sudah wujud
riak-riak perbalahan melibatkan kaum. Cuma riak itu belum menjadi gelombang.
Ini kerana mereka lupa sejarah. Sejarah hitam 13 Mei 1969. Mungkin sudah tiba
masanya kita menyambut setiap kali 13 Mei dengan satu acara yang membolehkan
seluruh rakyat negara ini mengingatinya dengan harapan mereka tidak melakukan
perkara-perkara yang boleh berulangnya peristiwa hitam itu. 13 Mei merupakan
satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat
selama-lamanya. Kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang
bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai. Kita
seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan
dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi
segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok
bandingnya.
Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba
sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan
semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara
keharmonian dan keamanan.